Skip to main content

Pusat Transformasi OKU USM-MAIK | Kampus Kesihatan

PUSAT TRANSFORMASI OKU USM-MAIK PLATFORM PEMERKASAAN GOLONGAN ISTIMEWA

120 OKU bimbingan PTO USM-MAIK  sudah bekerjaya

berita oku bekerjaya

Seramai 120 orang kelainan upaya (OKU) yang dibimbing menerusi Pusat Transformasi OKU USM- MAIK berjaya mendapat pekerjaan sejak bulan Jun lalu. 

Yang Dipertua Maik, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, pusat transformasi yang bernilai RM1 juta itu diwujudkan sebagai pusat sehenti dan rujukan bagi membantu OKU untuk hidup berdikari.

Menurutnya, USM mempunyai kepakaran terapi cara kerja yang berperanan untuk menilai impak kecacatan terhadap kehidupan seseorang.

“OKU di bawah pusat ini boleh dinilai menerusi kekuatan dan potensi mereka bagi membolehkan mereka hidup berdikari.

“Sebagai contoh, program latihan pekerjaan OKU intelek telah berjaya menukar status seramai 120 OKU dari liabiliti kepada produktiviti,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pusat Transformasi OKU USM-MAIK, Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Kampus Kesihatan, USM dekat Kubang Kerian di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Rizam yang juga Tengku Temenggong Kelantan berkata, pusat transformasi itu akan menjadi satu platform kerjasama antara kepakaran universiti dan aktiviti MAIK.

Menurutnya, ibu bapa yang mempunyai anak OKU perlu merebut peluang tersebut bagi memastikan golongan itu mampu hidup berdikari pada masa hadapan demi kelangsungan hidup mereka.

“Saya rasa terkilan kerana masih ramai ibu bapa yang tidak mempunyai kesedaran sehingga mengabaikan golongan OKU. Mereka harus dibantu semasa usia muda dengan merebut peluang yang ditawarkan.

“Pelbagai bantuan daripada agensi kerajaan atau swasta diberikan kepada golongan tersebut. MAIK juga sedang melakukan perkara sama untuk OKU di Kelantan,” katanya.