Skip to main content

Pusat Transformasi OKU USM-MAIK | Kampus Kesihatan

Pengecualian Cukai Jalan OKU

Pengecualian Cukai Jalan OKU

Satu insentif telah digariskan oleh pihak kerajaan iaitu pengecualian cukai jalan OKU di mana golongan Orang Kurang Upaya (OKU) yang mempunyai kenderaan tidak lagi perlu membayar cukai jalan untuk kenderaan mereka, jika sebelum ini mereka perlu membayar fi sebanyak RM2. Pengumuman ini adalah selaras dengan hasrat kerajaan dalam memastikan semua peringkat masyarakat tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara.

Pihak kerajaan akan menanggung sepenuhnya fi Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan bagi kenderaan golongan OKU yang layak dan menepati kriteria ditetapkan. Selain itu, permohonan pengecualian cukai jalan ini bukan hanya untuk oku sahaja yang layak memohon, namun ibu ATAU bapa ATAU penjaga juga layak memohon dengan bersyarat waris yang didaftarkan di JKM mestilah nama pemilik kenderaan.

Syarat Permohonan Pengecualian Cukai Jalan OKU

Permohonan adalah terbuka kepada semua pemegang kad OKU semua kategori (bukan fizikal sahaja), termasuklah ibu bapa yang berdaftar dan mempunyai anak OKU, penjaga mahupun individu mempunyai pasangan suami/isteri OKU. Syarat kelayakan permohonan adalah seperti berikut:

  1. Individu OKU atau ibu bapa/penjaga atau pasangan telah berdaftar dan mempunyai rekod dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)
  2. Pemohon mempunyai lesen memandu
  3. Kenderaan hendaklah berdaftar dan dilesenkan atas individu OKU yang memohon
  4. Kenderaan mestilah yang telah diubahsuai khas untuk kegunaan individu OKU, atau
  5. Jika tidak diubahsuai, kenderaan mestilah sama ada pemasangan tempatan (CKD) dan kereta nasional sahaja
  6. Pengecualian turut dipanjangkan kepada kenderaan yang didaftarkan dan dimiliki oleh ibu bapa / penjaga berdaftar yang mempunyai anak OKU, serta suami/isteri yang mempunyai pasangan OKU yang telah berdaftar dengan JKM
  7. Hanya untuk 1 kereta dan 1 motosikal sahaja

Info Tambahan: Bagi mana-mana pemilik kenderaan yang layak untuk mendapatkan pengecualian cukai jalan tersebut dan telah memiliki lesen kenderaan motor sama ada baharu atau diperbaharui selepas 1 Januari 2022, iaitu sebelum tarikh permohonan bagi kedua-dua pengecualian itu dimulakan, anda boleh serahkan semula LKM anda ke kaunter JPJ dan berhak dibayar dengan rebat – Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, petikan Sinar Harian dari sumber Bernama.

Cara Memohon Pengecualian Cukai Jalan OKU

Permohonan boleh dibuat melalui cara dengan memuat turun borang permohonan di bawah atau boleh dapatkan secara terus di kaunter JPJ berhampiran anda:

Borang Permohonan Pengecualian Cukai Jalan OKU

Sumber: Telegram InfoJPJ

Dokumen Sokongan yang Diperlukan

Sebelum anda menyerahkan borang permohonan ke kaunter, anda perlu bawa bersama dokumen seperti berikut:

  1. Kad OKU asal dan salinan
  2. Kad Pengenalan beserta salinan
  3. Salinan lesen memandu
  4. Surat Wakil dan juga Kad Pengenalan Wakil sekiranya wakil yang hadir ke kaunter