PUSAT PEMULIHAN DALAM KOMUNITI
PENGENALAN
Program Pemulihan dalam Komuniti (PDK) atau Community based Rehabilitation (CBR) telah diperkenalkan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dan dimulakan di Malaysia oleh WHO sejak tahun 1980-an.
Program PDK merupakan satu strategi pembangunan komuniti dalam rehabilitasi OKU, penyamaan peluang dan integrasi sosial OKU.
Program PDK dilaksanakan melalui penglibatan aktif OKU, keluarga dan masyarakat setempat dengan disokong oleh perkhidmatan kesihatan, pendidikan, vokasional dan sosial serta menggunakan sumber tempatan.
Di Malaysia, program ini dijalankan oleh masyarakat setempat dengan bantuan dan seliaan JKM.
Sejarah Penubuhan PDK di USM
Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), USM mengambil initiatif membuka PDK yang pertama di dalam institusi pengajian tinggi awam, di Malaysia, pada tahun April 2014. Ia dijalankan secara sukarela selama dua tahun dari tahun 2014 – 2016, sebelum kelulusan1 penubuhan dan peruntukan geran operasi dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diluluskan pada tahun 2016.
Ketua penyelidik projek adalah Dr. Mohd Zulkifli Abdul Rahim dan Pengerusi PDK USM Kubang Kerian adalah Prof Madya Dr. Mohamed Saat Ismail. Ahli-ahli projek adalah, Dr. Nik Norliza Nik Hassan, Dr. Edinur Hisham Atan, En.Nurul Azuar Hamzah, Pn. Siti Shaikhah Aziz, Pn. Masliza Yazid, En. Hafifi Hassan dan En. Wan Muhammad Fadhil.
PDK USM Kubang Kerian, USM Kampus Kesihatan (PDK@USM) adalah sebahagian dari projek-projek transformasi OKU, yang dijalankan oleh Unit Transformasi OKU, Pusat Pengajian Sains Kesihatan, USM.
Program Transformasi OKU, adalah merujuk kepada pelbagai program yang dijalankan bagi MEMPERKASA OKU dan MENUKAR STATUS OKU dari status ‘liability’ kepada ‘productivity’, iaitu, menjadikan OKU sebagai sumber manusia kepada negara. Mekanisme atau model operasi program memperkasa OKU yang di hasilkan oleh Unit Transformasi OKU, akan di amalkan melalui PDK USM sebagai contoh operasi untuk rujukan, sebelum di kembangkan ke seluruh negara.
Latarbelakang
Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), USM mempunyai pelbagai bidang kepakaran yang berteraskan Sains Kesihatan termasuk kepakaran Occupational Therapy (Terapi Carakerja). Bidang kepakaran Terapi Carakerja adalah memberi rawatan dan menjalankan program pemulihan agar OKU hidup berdikari walaupun mereka mengalami kecacatan. Ia dijalankan melalui rawatan terapi dan program pemulihan bagi MEMPERKASA OKU mengikut kemampuan setiap OKU tersebut.
Pekerjaan dan penjanaan pendapatan, adalah aspek utama keberdikarian. Ia adalah pencapaian yang penting bagi setiap OKU untuk memastikan kehidupan yang bermakna dan berkualiti. Pada tahun, 2012, Pasukan Terapi Carakerja dan beberapa orang pensyarah dari pelbagai kepakaran dari Pusat Pengajian Sains Kesihatan telah memulakan proram-program bagi memperkasa OKU di bawah tema “Transformasi OKU”. Di Malaysia, akses utama kepada anak-anak OKU adalah melalui PDK.
PDK adalah sistem perkhidmatan Pemulihan utama kepada anak-anak istimewa di Malaysia. Ia di perkenalkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan diperkenalkan di Malaysia, sejak tahun 1984. Konsep PDK adalah bagi menyediakan perkhidmatan Terapi dan Pemulihan di peringkat komuniti dengan kerjasama pemimpin masyarakat setempat. PDK adalah berkonsepkan sukarelawan, iaitu kakitangan yang dilantik tidak berasaskan kepada kelulusan dan pengetahuan. Oleh itu, masalah utama perkhidmatan PDK adalah guru-guru PDK kurang pengetahuan dan skil mengenai penjagaan anak-anak istimewa. PDK juga tidak menetapkan syarat umur kepada pelatih-pelatih OKU. Susulan itu, terdapat lambakan OKU dewasa yang hadir di PDK tanpa halatuju.
Oleh itu, USM sebagai sebagai sebuah universiti yang mempunyai kepakaran berkaitan OKU, mengambil inisiatif menubuhkan PDK dalam usaha meningkatkan tahap perkhidmatan kepada anak-anak istimewa di Malaysia.
Penubuhan PDK@USM>
PDK@USM Kubang Kerian di tubuhkan pada tahun 2014, adalah berasaskan kepada kepakaran daripada pelbagai bidang kepakaran pensyarah PPSK dari Program Sains Senaman dan Sukan, Forensik dan Bioperubatan. Kepakaran utama dalam program ini adalah bidang kepakaran Terapi Carakerja (Occupational Therapy), iaitu bidang kepakaran pemulihan OKU bagi menjadikan mereka berdikari, walaupun mereka ada kecacatan. Kepakaran Terapi Carakerja digunakan bagi merancang dan melaksanakan pemulihan kepada OKU dalam usaha memperkasa anak-anak istimewa dalam aspek penjanaan pendapatan dan pekerjaan.
Prof. Madya Dr. Mohamed Saat Ismail, selaku Pengerusi Program Sains Senaman dan Sukan, pada tahun 2012 telah mengenalpasti masalah di kebanyakan PDK adalah lambakan OKU dewasa kerana tiadanya program latihan OKU yang berstruktur kepada OKU di PDK. Beliau telah menyarankan kepada Pensyarah dan pasukan Terapis Carakerja dari Unit Transformasi OKU untuk mewujudkan satu modul yang bersistematik bagi membantu OKU-OKU dewasa di PDK agar mereka mampu bekerja untuk menyara kehidupan dan mampu untuk hidup berdikari.
Pensyarah Terapi Carakerja, Dr. Mohd Zulkifli Abdul Rahim dan pasukan Terapi Carakerja PPSK, telah membina inovasi latihan pekerjaan dan inovasi program pertanian komersial bagi mencapai objektif tersebut. Dr. Mohd Zulkifli Abdul Rahim, juga mewujudkan program modifikasi khas kerusi roda, sebagai kesinambungan bagi meningkatkan keberdikarian dari aspek mobiliti kepada OKU dan pelatih PDK yang mengalami masalah fizikal. Prof. Madya Dr. Mohamed Saat Ismail bersama Dr. Mohd Zulkifli, juga mewujudkan program pertanian Komersial OKU Intelek sebagai kesinambungan kepada program-program transformasi OKU, bagi memperkasa OKU.
Penubuhan PDK@USM Kubang Kerian adalah berteraskan kepada program Transformasi OKU, iaitu tumpuan kepada memperkasa OKU menjadi sumber manusia kepada negara dan mampu menjana pendapatan.
Aktiviti- Aktiviti yang Dijalankan di PDK@USM>
Aktiviti kehidupan seharian untuk OKU yang belum mampu berdikari dari aspek penjagaan diri, makan, minum, kebersihan dan lain-lain.
Aktiviti domestik bagi meningkatkan keupayaan OKU intelek melakukan aktiviti domestik
Aktiviti bengkel terlindung melalui projek pertanian komersil yang dikhaskan untuk OKU yang tidak berdaya saing untuk mendapatkan pekerjaan di pasaran terbuka.
Aktiviti Rumah Ngaji PDK Kubang Kerian
Aktiviti Kesenian dan Kebudayaan
Aktiviti Sukan dan Rekreasi
Ringkasan Pencapaian / Penutup
PPDK USM Kubang Kerian, Kampus Kesihatan yang ditubuhkan di PPSK USM, secara sukarela pada tahun 2014, menjadi pemangkin dan tunjang kepada program-program memperkasa OKU yang di jalankan oleh Unit Transformasi OKU PPSK.
Kebanyakan projek yang dijalankan adalah ‘sustainable’, berkembang dan memberi impak yang besar secara jangka panjang kepada kehidupan OKU.
Pembinaan Pusat Transformasi OKU USM-MAIK di PPSK adalah bukti impak program-program Transformasi OKU.
Kejayaan PPDK Kubang Kerian dalam membantu OKU berdikari mengikut kemampuan mereka, adalah model perkhidmatan bagi memperkasa OKU yang sesuai untuk di ‘replicate’ di PDK-PDK lain seluruh negara. Model perkhidmatan yang dihasilkan ini adalah inovasi perkhidmatan, bersesuaian dengan status universiti, yang menghasilkan model perkhidmatan bagi menyelesaikan masalah masyarakat.
Diharap agar model perkhidmatan ini dapat diperluaskan keseluruh Malaysia dan menjadi polisi perkhidmatan PDK di seluruh negara. Kejayaan ini adalah hasil komitmen dan usaha yang tidak pernah jemu dari pelbagai kepakaran di PPSK bersama menggunakan kepakaran Terapi Carakerja dari Unit Transformai OKU PPSK.
Dengan bantuan dan sokongan pemulihan yang bersistematik OKU mampu hidup berdikari dan mampu membantu ekonomi keluarga mereka. PPDK Kubang Kerian bersama Pusat Transformasi OKU USM-MAIK, Pusat Pengajian Sains Kesihatan telah membuktikan bahawa OKU bukan lagi bebanan malah menjadi kekuatan kepada keluarga mereka. Semoga usaha murni yang dijalankan di PPDK Kubang Kerian bersama Pusat Transformasi OKU USM-MAIK akan mendapat sokongan dari pihak tertinggi universiti dan dapat diteruskan demi kelestarian transformasi ekonomi dikalangan OKU.
Kami di Pusat Transformasi OKU USM-MAIK Pusat Pengajian Sains Kesihatan sangat komited untuk merancang dan membangunkan PPDK Kubang Kerian sebagai PDK contoh di Malaysia dalam memberi rawatan pemulihan secara menyeluruh dan membolehkan semua OKU mampu berdikari mengikut tahap kemampuan mereka. Bukan sahaja berdikari dalam menguruskan diri sendiri malah berdikari dalam mencari pendapatan bagi menampung kehidupan mereka dan keluarga mereka yang akan membolehkan OKU menyumbang kepada ekonomi Negara.
Program Latihan Pekerjaan OKU Intelek akan menghasilkan KIT Latihan Lengkap Program VT @USM bagi membolehkan program ini disebarluaskan keseluruh Negara. Dengan adanya KIT Lengkap VT@USM semua guru-guru PPDK atau guru pendidikan khas boleh belajar langkah-langkah yang perlu diambil dalam melatih OKU kealam pekerjaan. Diharap VT@USM akan dikenali oleh seluruh pelusok Malaysia dan menjadi pakar rujuk kepada mana-mana negeri yang memerlukan bantuan untuk melaksanakn projek VT ini.
Untuk mendaftar bersama kami? Boleh klik link di bawah :