Skip to main content

Pusat Transformasi OKU USM-MAIK | Kampus Kesihatan

PTOKU USM-MAIK ANJUR BENGKEL BANTU TANGANI KANAK-KANAK LAMBAT BERCAKAP

KOTA BHARU, KELANTAN, 30 Julai 2023 - Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK) melalui Pusat Transformasi (PT) OKU, Universiti Sains Malaysia (USM) - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) (PTOKU USM-MAIK) telah melaksanakan program pemerkasaan orang kelainan upaya (OKU) dengan penganjuran Bengkel Lambat Bercakap: Ketahui Teknik Bijak Rangsang Bercakap 'Dari Klinik Speech ke Kelas' bertempat di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji, hari ini.

imej 1

Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin berkata, usaha pemerkasaan ini seiring dengan salah satu daripada agenda utama USM iaitu 'Accelerated Programme for Exellence' (APEX) dengan meletakkan golongan OKU sebagai kumpulan sasaran utama untuk diberi perhatian. 
 
“Melalui bengkel ini para peserta diberikan pendedahan ilmu pengetahuan serta kemahiran kepada pengusaha dan gugu-guru taska mengenai teknik-teknik yang ada untuk mengendalikan anak-anak taska yang mempunyai masalah pertuturan. 
 imej 2
 
“Ia juga dapat memberi semangat dan motivasi serta daya penyelesaian masalah kepada guru-guru taska selain membantu mengurangkan bilangan peratusan kanak-kanak yang mengalami masalah lambat bercakap di Malaysia,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian program tersebut.

Tambah Shaharum, USM sebagai sebuah universiti awam perlu memainkan peranan utama dalam menyebarluas ilmu serta kepakaran terutama dalam bidang kesihatan di samping mengukuhkan sistem jaringan universiti bersama masyarakat.
 
imej 3
 
"USM menggabungkan kepakaran terapi carakerja (Occupational therapy) bagi membantu pegawai pemulihan pertuturan dalam usaha untuk menangani masalah lambat bercakap dalam kalangan kanak kanak.
 
“Selain itu, jaringan kerjasama yang telah dimeterai melalui memorandum persefahaman (MoU) antara USM dengan Al Kauthar Eduqids (AKE) Sdn. Bhd. pada Februari lalu dilihat memberi impak yang besar apabila bilangan peserta bengkel yang hadir paling ramai adalah dari AKE iaitu seramai 109 orang. 
 
imej 4
 
“Bagi pihak USM, saya berharap agar semua peserta mendapat manfaat daripada perkongsian Pakar Patologi Pertuturan dan ilmu serta kemahiran yang diperoleh dapat dipraktikkan ditempat masing-masing agar lebih ramai kanak-kanak yang mempunyai masalah kelewatan bercakap mendapat manfaatnya. 
 
Shaharum turut berharap agar rakan-rakan industri lain juga turut tampil dan mencari peluang kerjasama dengan PTOKU USM-MAIK bagi memastikan kesinambungan pelaksanaan program ini agar ia terus memberi manfaat kepada golongan yang memerlukan.
 
imej 5
 
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif AKE, Dato’ Dr. Kapten Bakhtiar Aliff Ibrahim dan Ketua PTOKU USM-MAIK, Dr. Mohd Zulkifli Abdul Rahim.

Kredit kepada : MPRC KAMPUS KESIHATAN
 

SIRAP LIMAU AIS CETUS FENOMENA TERKINI BIDANG PENTADBIRAN

USM PULAU PINANG, 30 Mac 2022 - Pendaftar Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Musa Hj Ali telah mengabadikan pengalamannya selama lebih tiga dekad melalui Buku penulisannya yang mengumpulkan kisah-kisah seperti memberi pengajaran, ilmu dan nasihat buat teman-teman, rakan seperjuangan, anak-anak generasi muda, dan pembaca amnya. 

WhatsApp_Image_2022-03-30_at_9.56.43_PM.jpg

Bertajuk Sirap Limau Ais : Memoir Seorang Pentadbir, buku ini telah dilancarkan dengan jayanya oleh Tuanku Canselor USM, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al- Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail ketika Majlis Anugerah Sanggar Sanjung (MASS) 2020 yang berlangsung kelmarin di MESS Pegawai Kanan PDRM, Kangar.

Antara yang menarik, penulis berkongsi bagaimana sebuah pusat latihan yang diberi nama Pusat Inovasi dan Produktiviti Pentadbiran Awam atau PIPPA, berkembang daripada sebuah pusat kerdil yang tidak dikenali sehingga berjaya menjalinkan kerjasama strategik dengan agensi antarabangsa di Amerika Syarikat, Jepun dan benua Eropah.

 IMG 3336

Melalui buku Sirap Limau Ais ini, penulis juga berkongsi detik-detik terkesan yang pernah dilalui dalam kehidupan kerjaya sebagai seorang pegawai tadbir di universiti, dan bagaimana pengalaman ini mendorong beliau untuk terus meneroka potensi kurniaan Allah.

Buku yang menghimpunkan coretan pengalaman Dr. Musa Ali sepanjang berkhidmat di USM dari sisi kerjaya, keluarga dan peribadi ini boleh didapati secara walk-in di Kedai Buku EMDASH USM dengan diskaun 20% ataupun secara dalam talian di aplikasi Lazada, Shopee, Prestomall, PG Mall, atau emdash.my dengan harga RM35.

WhatsApp_Image_2022-03-30_at_9.48.38_PM.jpeg

Dalam majlis yang sama, turut berlangsung adalah Perasmian Ulang Tahun Penerbit USM ke-50 yang turut dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Canselor USM.

Turut berangkat ke majlis ini adalah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Tengku Fauziah Binti Al-Marhum Tengku Abdul Rashid; Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali Rustam dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Wira Hajah Asmah Abdul Rahman; Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil; Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Azlan Bin Man, Menteri Besar Perlis dan isteri Yang Amat Berbahagia Datin Seri Nor Aswana Binti Omar; Yang Berhormat Datuk Muhammad Jailani Khamis, EXCO Pelancongan, Kebudayaan, dan Warisan Melaka mewakili Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Melaka; Yang Berhormat Dato’ Haji Hamdan Bahari, Speaker, Dewan Undangan Negeri Perlis dan isteri Yang Berbahagia Datin Hajah Hasmah Binti Mustafa; Yang Berbahagia Tan Sri Datuk Mustafa Mansur Pro-Canselor, Universiti Sains Malaysia; Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ M. Jegathesan Pro-Canselor, Universiti Sains Malaysia; Yang Berbahagia Tan Sri Datuk Zulkefli A. Hassan Pro-Canselor, Universiti Sains Malaysia dan isteri Yang Berbahagia Puan Sri Datin Noridah Nachara Hamat; Yang Berbahagia Datuk Dr. Awang Adek Bin Hussin Pengerusi Lembaga Gabenor USM; Yang Berbahagia Profesor Dato. Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan, Naib Canselor Universiti Sains Malaysia dan isteri Yang Berbahagia Datin Mazarisusanty Ibrahim; dan delegasi daripada USM, kerajaan negeri Perlis dan Melaka.

Teks : Hafiz Meah Ghouse Meah

Foto : Mohd Fairus Md Isa

PEGAWAI PENGIRING USM BANTU LANCARKAN PROSES MASS2020 DAN UPACARA KONVOKESYEN SIDANG 1 DI PERLIS

USM PULAU PINANG, 30 Mac 2022 - Pegawai Pengantara Majlis atau lebih kenali dengan jolokan Pegawai Pengiring (Liaison Officer) merupakan satu susuk yang memainkan peranan yang sangat penting dalam melancarkan satu-satu penganjuran majlis terutamanya yang melibatkan para kenamaan tinggi utama (VIP/VVIP).

42374333 015A 4E01 B6DC EF1C1D04762F

Universiti Sains Malaysia (USM) terus komited dalam pemerkasaan seluruh warga untuk terus terlibat dalam menjadi salah seorang dalam kumpulan yang mencabar ini.

Pada Majlis Sanggar Sanjung 2020 dan Upacara Konvokesyen USM Sidang 1 yang berlangsung di Perlis pada 28-29 Mac kelmarin, para pegawai pengiring ini telah berjaya melaksanakan tugasan yang telah diamanahkan dengan baik dan telah meletakkan satu aras yang tinggi bagi penganjuran dua program utama USM ini ke satu tahap yang lebih membanggakan.

Menurut Ketua Jawatankuasa Sambutan dan Pegawai Pengiring USM bagi program ini, Penolong Pendaftar Kanan PTPM, Mu’azzah Ismail, semua pegawai yang telah dilantik daripada pelbagai Pusat Tanggungjawab (PTJ) USM sangat komited dengan tugasan yang diamanahkan kepada mereka dan saling menghormati antara satu sama lain yang merupakan kunci kejayaan kumpulan ini.

“Semua Pegawai Pengiring USM sentiasa berada dalam tahap bersedia yang tinggi walau apa jua keadaan mahupun situasi yang bakal berlaku dan ini membuktikan kumpulan ini telah mendapat bimbingan dan latihan yang cukup untuk menghadapi segala cabaran,” jelasnya.

Tambahnya, selain itu, kesanggupan dalam membantu antara satu sama lain apabila saat rakan-rakan lain memerlukan bantuan juga antara faktor yang telah diambil kira untuk memberi perkhidmatan yang baik kepada tetamu kenamaan.

Paling menjadi tumpuan, terdapat Pegawai Pengiring daripada pelbagai kategori iaitu junior mahupun senior, tetapi semua berjaya menjalankan tugas dengan baik dan menunjukkan disiplin yang tinggi dan tidak mengira gred jawatan.

Sementara itu, Penolong Pendaftar PP Sains Farmasi, Ahmad Faiz Badiozaman berkata, tanggungjawab berat yang diberikan buatnya yang dianggap junior dengan mengiring Pro-Canselor USM telah membuatkan beliau lebih matang dan juga merupakan satu penghormatan baginya untuk memberi sesuatu kepada universiti tercinta.

Bagi Penolong Pendaftar Kanan, Jabatan Pendaftar, Erman Kamal bin Mustafa Kamal, pengalaman luasnya dalam bidang pegawai pengiring ini telah memberi beliau banyak ilmu yang telah dikongsikan bersama pegawai-pegawai pengiring baharu yang dilantik.

Kumpulan yang turut bernaung di bawah Kluster Pengurusan Majlis USM, baru-baru ini telah mengadakan Sesi Perkongsian bertajuk Pegawai Pengantara Dalam Majlis Rasmi yang telah mengumpulkan pegawai-pegawai yang berpengalaman dalam berkongsi pengalaman dalam bidang pegawai pengiring ini.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah

SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN, TAMBAH AMAL DAN TINGKATKAN PENJAGAAN DIRI - NAIB CANSELOR

USM PULAU PINANG, 1 April 2022 – Walaupun negara sudah beralih ke fasa endemik mulai hari ini, namun pelajar dan staf Universiti Sains Malaysia (USM) terus perlu mengamalkan penjagaan diri dan kesihatan, terutamanya pada Ramadhan yang bakal menjelang.

WhatsApp Image 2022 04 01 at 9.03.23 AM

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan berkata, pelajar dan staf universiti ini diingatkan supaya terus meningkatkan amalan di bulan mulia ini.

Katanya, peralihan ke fasa endemik beberapa hari sebelum menyambut bulan mulia kali ini seharusnya dijadikan medan untuk masyarakat meningkatkan keimanan dan ketaqwaan mereka.

“Selamat menyambut Ramadhan, setiap tahun hanya sebulan, sama-sama tingkatkan amalan, tiada bola selama sebulan,” katanya dalam serangkap pantun pada satu poster unik yang dikongsikan beliau kepada seluruh warga USM.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Ismail Sabri Bin Yaakob sebelum ini mengumumkan negara akan melangkah ke fasa endemik bermula hari ini, dengan beberapa pengecualian prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sebelum ini.

Antara pengecualian yang diberikan adalah, aktiviti solat berjemaah di masjid dan surau serta upacara sembahyang di rumah ibadat selain Islam, boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal namun pemakaian pelitup muka dan pengimbasan kod MySejahtera masih diwajibkan.

Turut diberikan pengecualian adalah pengoperasian restoran dan kedai makan selama 24 jam bagi membolehkan orang ramai bersahur.

Bagi tahun 2022M/1443H, umat Islam seluruh negara akan mula menjalani ibadah puasa pada 3 April.

Teks: Mohamad Hafiz Asyraf Mohd Arop/Poster: Ebrahim Abdul Manan

SANJUNGAN BUDI KILAUAN BAKTI, KETUA PUSTAKAWAN USM DIRAI SELEPAS 36 TAHUN BERKHIDMAT

USM PULAU PINANG, 31 Mac 2022 – Ketua Pustakawan, Perpustakaan Universiti Sains Malaysia (USM), Rugayah Ali dirai oleh seluruh warga Perpustakaan USM termasuk kepimpinan tertinggi universiti bersempena majlis hari persaraan beliau setelah 36 tahun menabur bakti di USM.

Majlis turut dihadiri Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan dan barisan kepimpinan universiti yang bersama-sama meluangkan masa meraikan hari persaraan Rugayah Ali, menyifatkan persaraan beliau merupakan kehilangan besar buat universiti di atas jasa dan komitmen beliau selama tempoh perkhidmatan tersebut.

FE8D784F 33BD 4B46 A85C D59157F95677

Faisal Rafiq berkata, persaraan Rugayah Ali sememangnya memberi kesan buat universiti memandangkan pengalaman dan kemahiran beliau dalam selok belok kepustakawanan amat tinggi dan sukar dicari ganti.

“Saya mewakili seluruh warga kerja USM ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih tidak terhingga buat Ketua Pustakawan, Puan Rugayah Ali di atas khidmat bakti beliau mencurahkan segala keringat dan kepakaran termasuk beberapa inovasi yang dilakukannya buat perpustakaan USM dalam sektor perkhidmatannya kepada pelajar dan seluruh warga kampus,” kata beliau di majlis Persaraan Ketua Pustakawan USM yang diadakan di Perpustakaan Hamzah Sendut, USM.

Tambah beliau, 36 tahun berkhidmat buat universiti merupakan tempoh yang cukup lama dan setinggi-tinggi tahniah buat Rugayah Ali kerana mampu berkhidmat selama tempoh itu untuk menabur bakti buat universiti.

Faisal Rafiq turut menggesa warga kerja USM supaya mencontohi legasi yang ditinggalkan beliau dan terus menggalas amanah dan tanggungjawab dengan sebaik mungkin demi memastikan misi dan visi yang ditetapkan Perpustakaan USM tercapai dengan jayanya.

Pada majlis yang sama, Rugayah Ali turut mengucapkan syukur tidak terhingga di atas peluang dan pengalaman yang berharga sepanjang perkhidmatannya di USM dan berjaya mengharungi onak duri menikmati kemanisan sepanjang menggalas amanah dalam perkhidmatan sebagai pentadbir di USM.

“Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada suami kerana memahami dan menyokong kerjaya saya selama ini, Naib Canselor dan pengurusan tertinggi universiti serta ketua-ketua jabatan atas sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada saya.

“Paling tidak dilupakan adalah seluruh warga Perpustakaan USM termasuk mantan Ketua Pustakawan yang banyak memberi tunjuk ajar serta semua staf yang telah memberikan komitmen yang tinggi dan kerjasama mantap dalam menjayakan misi dan visi perpustakaan selaras dengan moto ‘Berilmu, Amanah, Progresif’ sepanjang saya menjalankan tanggungjawab sebagai Ketua Pustakawan ke-10 USM,” jelas beliau lagi.

Rugayah Ali memulakan perjalanan karier beliau di USM tanggal 16 Mei 1986 dan pada masa tersebut beliau menjawat sebagai Pegawai Tadbir universiti.

55C557D7 91C5 4EEA 9E11 2136945A1351

Seterusnya tahun 1987 beliau telah dihantar ke Kampus Cawangan Kelantan untuk bertugas di Perpustakaan Perubatan USM.

Setahun kemudian Rugayah dihantar mengikuti Diploma Lepasan Ijazah dalam bidang Sains Perpustakaan selama setahun untuk melayakkan dirinya menjawat sebagai Pustakawan.

Bermula dari situlah beliau menggamit 20 tahun pengalaman asam garam dalam perkhidmatan perpustakaan kepada pengguna yang terdiri daripada staf dan pelajar dari Pusat Pengajian Sains Perubatan dan staf Hospital USM.

Sehinggalah tahun 2007, Rugayah dinaikkan pangkat dan dipindahkan semula ke kampus induk kemudian kembali ke Perpustakaan Hamdan Tahir, Kelantan sehinggalah pada tahun 2018 menjawat jawatan tertinggi di dalam perpustakaan USM iaitu sebagai Ketua Pustakawan di Perpustakaan Hamzah Sendut, kampus induk USM.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Mohd Fairus Md Isa