Setinggi-tinggi Tahniah Dr Mohd Zulkifli bin Abdul Rahim

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 26 Oktober 2025 - Pusat Transformasi Orang Kurang Upaya, Universiti Sains Malaysia - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (PTOKU USM-MAIK) menerima kunjungan delegasi ‘Southeast Asian Ministers of Education Organisation Regional Centre for Special Educational Needs’ (SEAMEO SEN) yang mengadakan lawatan rasmi ke pusat berkenaan, hari ini.

Delegasi yang diketuai Pengarah SEAMEO SEN, Jamilah Kadir disambut oleh Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato’ Dr. Shaiful Bahari Ismail.

Lawatan ini bertujuan mempelajari pelaksanaan program yang dijalankan PTOKU USM-MAIK dalam bidang pemerkasaan dan khidmat sokongan komuniti OKU, di samping membincangkan potensi kolaborasi strategik antara kedua-dua pihak dalam memperkukuh pendidikan khas dan pembangunan inklusif di antara anggota SAEMEO SEN khususnya di Malaysia.

Delegasi turut diberi taklimat dan penerangan ringkas mengenai visi dan misi PTOKU USM-MAIK, termasuk peranannya sebagai hab sehenti bagi runding cara, intervensi dan pemerkasaan serta mempromosi komuniti OKU selain dibawa meninjau beberapa fasiliti sekitar PTOKU bagi mendapatkan gambaran menyeluruh tentang pelaksanaan program-program yang dijalankan.

Turut menyertai lawatan ini ialah Dekan Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK) USM, Profesor Dr. Wan Rosli Wan Ishak; Ketua Bahagian Pengurusan SEAMEO SEN, Datin Era Zaffura Mohd Sin; Pegawai SEAMEO SEN, Haji Zulkafli Senik dan Fezny Othman serta Ketua PTOKU USM-MAIK, Dr. Mohd Zulkifli Abdul Rahim.

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 22 September 2025 – Pusat Transformasi Orang Kurang Upaya Universiti Sains Malaysia – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (PTOKU USM-MAIK) menerima kunjungan seramai 45 orang delegasi dari Jabatan Tenaga Manusia (JTM) yang diketuai Ketua Pengarah, Datuk Rospiagos Taha, hari ini.


Turut serta dalam rombongan ini ialah para Pegawai Kanan JTM dan Pengarah dari 33 Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) seluruh Malaysia bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang latihan kemahiran serta pembangunan tenaga kerja inklusif.


Delegasi lawatan diberi taklimat mengenai fungsi, peranan utama dan latihan yang disediakan di PTOKU USM-MAIK oleh Dekan Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Profesor Dr. Wan Rosli Wan Ishak yang mewakili Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM.


Selain itu, delegasi juga dibawa melawat sekitar PTOKU USM-MAIK termasuk bengkel modifikasi khas kerusi roda, makmal simulasi pekerjaan OKU intelek (VT@USM>) serta pelbagai perkhidmatan sokongan yang ditawarkan.
USM, MAIK PERKUKUH AGENDA KETERANGKUMAN DAN PEMERKASAAN OKU
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 27 Ogos 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui kerjasama strategik bersama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) terus memperkukuh peranan dalam memperkasa komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) apabila sekali lagi tampil dengan inisiatif berimpak tinggi melalui Pusat Transformasi OKU USM-MAIK (PTOKU USM–MAIK).

Sebagai pusat sehenti, PTOKU USM–MAIK bukan sahaja menyediakan akses kepada latihan pekerjaan, intervensi terapi dan peluang pemerkasaan diri, malah turut memastikan golongan OKU menerima bantuan mobiliti, pendidikan serta advokasi hak asasi agar mereka tidak terpinggir daripada arus pembangunan negara

Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra Ibni Al-Marhum Sultan Ismail Petra, hari ini berkenan menyempurnakan pengurniaan sumbangan kepada para penerima sempena Majlis Pengurniaan Kerusi Roda, Sijil Tamat Latihan dan Sumbangan kepada OKU Asnaf Negeri Kelantan bagi Tahun 2025 yang berlangsung di Dewan Utama, Kampus Kesihatan USM.

Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail yang mewakili Naib Canselor USM, berkata, majlis ini diadakan selaras dengan misi USM sebagai sebuah universiti penyelidikan dan pendidikan terunggul, sejajar dengan visinya untuk memberi impak positif dan lestari kepada masyarakat dan alam sekitar termasuk golongan OKU.

“Antara inisiatif penting yang mencerminkan komitmen USM terhadap keterangkuman dan kelestarian ialah penubuhan PTOKU USM-MAIK.
“PTOKU USM–MAIK telah ditubuhkan pada tahun 2018 hasil sumbangan hampir RM1 juta oleh MAIK melalui Dana Wang Ehsan Negeri Kelantan (WENK) dan pada tahun 2024, pihak MAIK sekali lagi menzahirkan keprihatinan dengan memberi sumbangan sebanyak RM340,000 bagi melaksanakan Program Penilaian, Pendidikan dan Modifikasi Kerusi Roda untuk golongan OKU asnaf Kelantan.

“Alhamdulillah, projek ini telah memberi manfaat kepada lebih 100 orang OKU di seluruh Kelantan sekali gus membuka ruang kehidupan baharu yang lebih bermaruah dan produktif buat mereka,” katanya.
Tambah Shaiful Bahari, pada hari ini, seramai 30 orang OKU akan menerima kerusi roda yang telah dimodifikasi mengikut kesesuaian mereka.

“Setiap penerima kerusi roda telah melalui proses penilaian teliti oleh Pakar Terapi Cara Kerja (Occupational Therapist) bagi memastikan mereka menerima kerusi roda mengikut keperluan dan keadaan mereka.
“Latihan penggunaan kerusi roda juga diberikan kepada OKU dan penjaga bagi memastikan penggunaan kerusi roda yang berkesan,” ujarnya lagi.

Shaiful Bahari turut memaklumkan bahawa majlis ini juga meraikan kejayaan 50 orang pelatih OKU yang telah menamatkan latihan pekerjaan di bawah Program Latihan Pekerjaan OKU Intelek (VT@USM>) hasil tajaan Kementerian Pendidikan Tinggi melalui inisiatif belanjawan 2024.

Sumbangan ini bukan sahaja memberi kelegaan dari segi kewangan kepada para penerima, malah menjadi tanda sokongan moral dan sosial untuk mereka terus berusaha memperbaiki kehidupan. Ia juga mencerminkan semangat kebersamaan masyarakat Kelantan yang sentiasa mengutamakan kebajikan golongan memerlukan serta membuka ruang kepada penerima untuk meningkatkan kesejahteraan keluarga, pendidikan dan penyertaan lebih aktif dalam komuniti.
Golongan OKU juga mampu menyumbang kepada produktiviti negara sekiranya diberi latihan pekerjaan yang bersesuaian. Semoga usaha ini menjadi penyelesaian terbaik dalam memperkukuh agenda kebajikan dan pemerkasaan komuniti OKU di negeri Kelantan dalam usaha menukar status mereka daripada liabiliti kepada produktiviti iaitu dengan menjadikan mereka sumber manusia kepada negara.