SUKAN DAN KARNIVAL OKU (SUKOKU)
Sukan OKU (SUKOKU) telah mula dianjurkan bermula pada tahun 2010, 2011, 2012, 2015, 2018 dan 2019 dengan anjuran Program Sains Senaman dan Sukan, Pusat Pengajian Sains Kesihatan bekerjasama Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) USM dengan sokongan JKM Kelantan.
SUKOKU melibatkan individu "Intellektual Disability" (ID) dari sekolah dan Pusat Pemulihan dalam Komuniti (PDK) di seluruh negeri Kelantan.
Pada tahun 2019 projek Sukan Orang Kurang Upaya (OKU) telah dianjurkan selari dengan sambutan 20 tahun Pusat Pengajian Sains Kesihatan. Tema yang dipilih pada tahun 2019 adalah ‘OKU Aktif Berpotensi’, bagi menggambarkan keupayaan dan potensi individu OKU dalam pelbagai bidang. Ianya menekankan aspek penglibatan individu OKU dalam pelbagai bidang termasuklah aktiviti fizikal (sukan dan senaman) bagi meningkatkan keupayaan dan potensi diri mereka ke peringkat yang lebih tinggi. Selain itu, SUKOKU ini juga untuk menggalakkan lebih ramai individu ID bersama individu normal yang lain untuk turut sama beriadah selain menikmati keseronokan bersenam.
Acara yang akan dilaksanakan lebih menekankan aspek permainan yang dapat membantu dalam pembangunan fizikal, kognitif, berkompetitif dan sosial golongan ID ini terutamanya bagi pasukan kanak-kanak. Aktiviti yang berkonsepkan sukaneka dan sukan berkompetitif ini akan melibatkan kemahiran yang penting dalam peningkatan keupayaan motor mereka seperti berlari, koordinasi, menendang, keseimbangan dan lain-lain. Aktiviti yang akan diadakan ini juga mampu memupuk nilai-nilai positif dalam diri individu ID seperti hormat-menghormati, toleransi, kesabaran dan semangat kerjasama. Selain itu, aktiviti-aktiviti pameran dan demo masakan juga akan dianjurkan bagi memeriahkan acara pada kali ini.
Projek SUKOKU ini juga diharapkan mampu menarik penglibatan masyarakat untuk bersama-sama golongan ID dalam aktiviti yang dilaksanakan. Secara tidak langsung ia akan memberi sokongan dan keyakinan kepada golongan ID untuk berdepan dengan masyarakat. Selain itu, masyarakat dapat menilai dan menghargai kekuatan yang ada dalam diri individu ID dan memberikan mereka peluang yang sama seperti individu normal yang lain.