SEAMEO SEN LAWAT PTOKU USM-MAIK BINCANG KOLABORASI PENDIDIKAN INKLUSIF
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 26 Oktober 2025 - Pusat Transformasi Orang Kurang Upaya, Universiti Sains Malaysia - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (PTOKU USM-MAIK) menerima kunjungan delegasi ‘Southeast Asian Ministers of Education Organisation Regional Centre for Special Educational Needs’ (SEAMEO SEN) yang mengadakan lawatan rasmi ke pusat berkenaan, hari ini.

Delegasi yang diketuai Pengarah SEAMEO SEN, Jamilah Kadir disambut oleh Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato’ Dr. Shaiful Bahari Ismail.

Lawatan ini bertujuan mempelajari pelaksanaan program yang dijalankan PTOKU USM-MAIK dalam bidang pemerkasaan dan khidmat sokongan komuniti OKU, di samping membincangkan potensi kolaborasi strategik antara kedua-dua pihak dalam memperkukuh pendidikan khas dan pembangunan inklusif di antara anggota SAEMEO SEN khususnya di Malaysia.

Delegasi turut diberi taklimat dan penerangan ringkas mengenai visi dan misi PTOKU USM-MAIK, termasuk peranannya sebagai hab sehenti bagi runding cara, intervensi dan pemerkasaan serta mempromosi komuniti OKU selain dibawa meninjau beberapa fasiliti sekitar PTOKU bagi mendapatkan gambaran menyeluruh tentang pelaksanaan program-program yang dijalankan.

Turut menyertai lawatan ini ialah Dekan Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK) USM, Profesor Dr. Wan Rosli Wan Ishak; Ketua Bahagian Pengurusan SEAMEO SEN, Datin Era Zaffura Mohd Sin; Pegawai SEAMEO SEN, Haji Zulkafli Senik dan Fezny Othman serta Ketua PTOKU USM-MAIK, Dr. Mohd Zulkifli Abdul Rahim.
