Skip to main content

Pusat Transformasi OKU USM-MAIK | Kampus Kesihatan

USM, MAIK PERKUKUH AGENDA KETERANGKUMAN DAN PEMERKASAAN OKU

 USM, MAIK PERKUKUH AGENDA KETERANGKUMAN DAN PEMERKASAAN OKU

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 27 Ogos 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui kerjasama strategik bersama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) terus memperkukuh peranan dalam memperkasa komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) apabila sekali lagi tampil dengan inisiatif berimpak tinggi melalui Pusat Transformasi OKU USM-MAIK (PTOKU USM–MAIK).

tmg

Sebagai pusat sehenti, PTOKU USM–MAIK bukan sahaja menyediakan akses kepada latihan pekerjaan, intervensi terapi dan peluang pemerkasaan diri, malah turut memastikan golongan OKU menerima bantuan mobiliti, pendidikan serta advokasi hak asasi agar mereka tidak terpinggir daripada arus pembangunan negara

tmg2

Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra Ibni Al-Marhum Sultan Ismail Petra, hari ini berkenan menyempurnakan pengurniaan sumbangan kepada para penerima sempena Majlis Pengurniaan Kerusi Roda, Sijil Tamat Latihan dan Sumbangan kepada OKU Asnaf Negeri Kelantan bagi Tahun 2025 yang berlangsung di Dewan Utama, Kampus Kesihatan USM.

tmg3

Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail yang mewakili Naib Canselor USM, berkata, majlis ini diadakan selaras dengan misi USM sebagai sebuah universiti penyelidikan dan pendidikan terunggul, sejajar dengan visinya untuk memberi impak positif dan lestari kepada masyarakat dan alam sekitar termasuk golongan OKU.

tmg4

 

“Antara inisiatif penting yang mencerminkan komitmen USM terhadap keterangkuman dan kelestarian ialah penubuhan PTOKU USM-MAIK.

“PTOKU USM–MAIK telah ditubuhkan pada tahun 2018 hasil sumbangan hampir RM1 juta oleh MAIK melalui Dana Wang Ehsan Negeri Kelantan (WENK) dan pada tahun 2024, pihak MAIK sekali lagi menzahirkan keprihatinan dengan memberi sumbangan sebanyak RM340,000 bagi melaksanakan Program Penilaian, Pendidikan dan Modifikasi Kerusi Roda untuk golongan OKU asnaf Kelantan.

tmg6

 

“Alhamdulillah, projek ini telah memberi manfaat kepada lebih 100 orang OKU di seluruh Kelantan sekali gus membuka ruang kehidupan baharu yang lebih bermaruah dan produktif buat mereka,” katanya.

Tambah Shaiful Bahari, pada hari ini, seramai 30 orang OKU akan menerima kerusi roda yang telah dimodifikasi mengikut kesesuaian mereka.

tmg7

 “Setiap penerima kerusi roda telah melalui proses penilaian teliti oleh Pakar Terapi Cara Kerja (Occupational Therapist) bagi memastikan mereka menerima kerusi roda mengikut keperluan dan keadaan mereka.

“Latihan penggunaan kerusi roda juga diberikan kepada OKU dan penjaga bagi memastikan penggunaan kerusi roda yang berkesan,” ujarnya lagi.

tmg8

 

Shaiful Bahari turut memaklumkan bahawa majlis ini juga meraikan kejayaan 50 orang pelatih OKU yang telah menamatkan latihan pekerjaan di bawah Program Latihan Pekerjaan OKU Intelek (VT@USM>) hasil tajaan Kementerian Pendidikan Tinggi melalui inisiatif belanjawan 2024.

“Para graduan program ini kebanyakannya telah bekerja di pelbagai sektor pekerjaan yang menerima dan meraikan tenaga kerja OKU,” jelasnya.

Selain itu, dalam majlis yang sama turut menyaksikan pengurniaan sumbangan kepada 250 penerima OKU terpilih dari seluruh negeri, hasil sumbangan Majlis Jaksa Pendamai Negeri Kelantan dengan peruntukan sebanyak RM125,000.

 tmg9

 Sumbangan ini bukan sahaja memberi kelegaan dari segi kewangan kepada para penerima, malah menjadi tanda sokongan moral dan sosial untuk mereka terus berusaha memperbaiki kehidupan. Ia juga mencerminkan semangat kebersamaan masyarakat Kelantan yang sentiasa mengutamakan kebajikan golongan memerlukan serta membuka ruang kepada penerima untuk meningkatkan kesejahteraan keluarga, pendidikan dan penyertaan lebih aktif dalam komuniti.

Golongan OKU juga mampu menyumbang kepada produktiviti negara sekiranya diberi latihan pekerjaan yang bersesuaian. Semoga usaha ini menjadi penyelesaian terbaik dalam memperkukuh agenda kebajikan dan pemerkasaan komuniti OKU di negeri Kelantan dalam usaha menukar status mereka daripada liabiliti kepada produktiviti iaitu dengan menjadikan mereka sumber manusia kepada negara.